Sunday, March 22, 2009

Sasar 1,000 Belia Mahir Selenggara Telefon Bimbit

KUCHING: Kerajaan Negeri bercadang memberi kemahiran membaiki telefon bimbit kepada 1,000 belia di Sarawak dalam tempoh dua tahun akan datang berikutan potensi luas dalam bidang perniagaan komunikasi. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), Naroden Majais, berkata bagi mencapai sasaran itu, Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera akan memperbanyakkan kursus memperbaiki telefon bimbit khusus kepada golongan belia. "Dalam tempoh dua tahun dari sekarang, kita mensasar menghasilkan sekurang-kurangnya 1,000 belia Bumiputera yang memiliki pengetahuan membaiki dan menyelenggara telefon bimbit," katanya ketika merasmikan penutupan kursus memperbaiki telefon bimbit di Pejabat Biro Wanita, Petra Jaya, di sini, semalam.
Seramai 50 peserta menyertai kursus yang pertama kali dianjurkan unit berkenaan dengan harapan lebih ramai generasi muda di sekitar kawasan ini berminat menyertainya. Naroden berkata, pihaknya melihat penggunaan telefon bimbit yang semakin meluas di kalangan rakyat boleh memberi peluang perniagaan kepada mereka yang mahir memperbaiki dan menyelenggara alat komunikasi berkenaan. "Dengan semakin popularnya telefon bimbit dikalangan semua peringkat umur penduduk di bandar dan luar bandar, permintaan terhadap pembukaan perniagaan berasaskan alat itu akan turut meningkat.
"Pada masa ini masalah utama kepada pengguna telefon bimbit ialah mereka dikenakan bayaran tinggi untuk memperbaiki telefon bimbit walaupun masalah yang dihadapi cuma kecil," katanya. Beliau berkata, masalah itu disebabkan ketika ini hanya sedikit individu yang mahir memberi perkhidmatan itu berikutan tidak ramai memiliki kemahiran berkenaan walaupun perniagaan itu mudah diusahakan serta memerlukan yang modal rendah. "Golongan belia Bumiputera boleh mengurangkan kos awal sekiranya berani menjalankan perniagaan terbabit dari rumah sebelum memiliki premis sendiri setelah perniagaan mereka berkembang. "Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera akan melatih mereka dengan kemahiran asas membaiki telefon bimbit tetapi mereka perlu bersedia menjalani latihan lanjutan di Institut Keusahawanan di Kuala Lumpur nanti," katanya. Sumber : BERITA HARIAN 23.03.2009

No comments:

Post a Comment